Telefon bimbit berdering ketika kepala sedang disesakkan dengan teori dan paradigma mixed-method yang diguna pakai di dalam kajian-kajian yang berkaitan dengan linguistik terapan. Berita yang disampaikan oleh pemanggil telah menghapus senyum dari wajah.
Setibanya di Hospital Teluk Intan dengan pecutan hampir 180/km sejam, tangannya yang dingin aku genggam dengan rasa syukur kerana dia masih bernafas dihadapan aku walaupun dengan bantuan mesin oksigen. Jasadnya bungkam dengan dada berombak-ombak.
Aku duduk, mula membaca surah Yassin dan tidak berhenti. Pada pukul 6 petang, sekumpulan doktor dan para jururawat bertungkus lumus untuk menyelamatkannya ketika keadaannya semakin kritikal. Langsir ditutup dan semua diarahkan untuk tunggu diluar. Segala peralatan kecemasan memenuhi ruang wad. Ahli keluarga tersedu-sedan menahan hiba. Kami beramai-ramai membaca kalam suci Allah tanpa putus asa dan merendah hati. Dalam hati masih mengharapkan keajaiban walaupun bacaan graf pada elektrokardiogram jantung makin merosot. Pada waktu sebegini, segala pengharapan hanya diserahkan pada yang Esa.
Ajal dan maut tetap rahsia teragung milik Allah Azawajalla. Ia sentiasa dekat dengan setiap yang bernyawa. Pasti akan menjemput setiap yang bernafas. Alhamdulillah, nenda tercinta sudah kembali celik melihat dunia walaupun kedua buah pinggangnya kini gagal berfungsi.
Moga Tuhan melindungi semua yang aku kasihi dan sayangi. Apapun yang direncanakan oleh-Nya, itu pasti yang terbaik sekalipun ia menghancurkan aku kepada serpihan-serpihan rawan.
Salam Syaaban.
Jalan Changkat Jong,
Teluk Intan.
Teluk Intan.
2 comments:
ilya moga nenda awak ipjgkan umur dan sihat kembali,maaf tak sempat melawat walau ayah saya satu hospital dgn nenek ilya dulu. Saya doakan dia cpt sembuh :)
InshaaAllah, terima kasih fareezan. arwah ayah awak hosp teluk intan jugak ke? takpe..takziah ye. harap awak sekeluarga tabah dan redha. ayah awak tenang disana. saya doakan juga :)
Post a Comment